Tuesday, May 12, 2009

i'm in KOSMO!


Pantang nampak objek katak


Dahulu dia pernah membayangkan watak Putera Katak dalam hikayat dongeng ialah dirinya. Kini, Zaini Mohamed Isa ialah pengumpul objek bertemakan katak.

ZAINI bersama sebahagian daripada koleksi kataknya.

Katak biasanya tidak digemari oleh ramai orang kerana rupanya yang buruk dan menggerutu. Namun, apabila ia berbentuk objek seperti patung dan barang permainan, katak berubah menjadi comel dan menarik minat sesetengah orang untuk mengumpulnya.

Itulah yang terjadi kepada tamu ruangan Buat Apa minggu ini. Sejak tujuh tahun lalu, Zaini Mohamed Esa, setia bersama hobinya yang unik itu.

"Seperti kebanyakan orang, saya juga tidak suka dengan katak hidup yang hodoh dan menggelikan. Tetapi, hati saya tertawan dengan objek-objek bertemakan katak yang comel dan menarik ini," katanya kepada GenK baru-baru ini.

Zaini memberitahu, minat itu timbul apabila dia tertarik melihat koleksi objek berasaskan katak milik seorang kenalan menerusi Internet.

Zaini yang berasal dari Teluk Bahang, Pulau Pinang berkata, setakat ini dia telah mengumpulkan lebih 1,000 objek katak. Ia merangkumi soft toy, tabung, tempat letak telefon bimbit, rantai kunci, bekas kosmetik, hiasan kereta, gelas, bantal dan banyak lagi. Koleksi kataknya juga diperbuat daripada bahan yang pelbagai.

Cerita Zaini, dia tidak mengambil kira apa jua jenis objek katak itu atau buatannya. Asal saja ia berupa katak, pasti dia akan membelinya.

"Saya memang pantang nampak objek katak. Terserempak di mana-mana saja, tak kira di pusat beli-belah, pasar malam atau di mana saja, saya akan terus beli. Kebetulan, saya juga minat melancong dan pasti beli objek katak di sana kalau jumpa," katanya sambil memberitahu dia pernah membeli objek bertemakan katak dari Jepun, Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Lagipun, saya ramai kawan. Mereka juga memahami minat saya dan mereka biasa menghadiahkannya terutama ketika ulang tahun hari lahir saya. Saya masih ingat seorang kawan saya, Ayu, dia belikan empat hadiah katak sekali gus masa hari jadi saya.

Apabila saya tanya kenapa sampai empat, dia cakap ia sangat comel hingga dia tak tahu nak pilih yang mana!" katanya lucu mengenangkan rakan-rakannya yang faham benar minatnya itu.

"Disebabkan hobi ini juga saya mungkin dilihat unik oleh kawan-kawan," ujarnya.

Zaini berkata, walaupun tidak menggemari katak hidup, namun dia mengakui sejak memiliki hobi mengumpul objek berasaskan katak, dia juga minat melihat rupa-rupa katak di Internet.

"Bagi saya, katak ialah haiwan yang unik. Ia boleh hidup di darat dan di air. Saya rasa saya pun ada sifat seperti katak yang boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran. Saya boleh bergaul dengan siapa sahaja. Saya bekerja sebagai eksekutif acara, jadi saya banyak bergaul dengan pelbagai lapisan orang," katanya.

Adakah dia pernah mempunyai apa-apa sejarah dengan katak atau yang berkaitan dengannya? Zaini berkata, semasa kecil, dia meminati cerita Putera Katak.

"Saya selalu berimaginasi yang Putera Katak itu ialah saya," katanya sebelum menambah: "Seorang kawan baik saya pun tidak boleh dengar saya menyanyi. Kata kawan saya, 'berkawan lagi dengan katak, suara pun dah jadi macam suara katak'."

Dalam banyak koleksinya, yang manakah koleksi yang paling disayanginya? Zaini berkata, dia paling sayang objek tembaga empat ekor katak, seekor tutup mata, seekor tutup telinga, seekor tutup mulut dan seekor lagi barangkali tutup kemaluan.

"Ada makna objek itu. Dalam hidup ini, kita jangan tengok benda yang tak elok, jangan dengar benda yang tak baik, jangan cakap bukan-bukan dan akhir sekali, jangan gatal-gatal," ujarnya sambil memberitahu objek-objek kataknya berharga dalam lingkungan RM50 ke bawah.

1 comment: